Saturday, January 1, 2011

DALAM DIRI MANUSIA SUDAH ADA ASAS2 PERINGATAN.



DALAM DIRI MANUSIA SUDAH ADA ASAS-ASAS PERINGATAN
Antara keistimewaan manusia yang Allah Taala bekalkan semula jadinya ialah di dalam diri manusia itu sudah tersedia asas-asas peringatan. Sama ada peringatan-peringatan yang positif mahupun yang negatif. Yang dimaksudkan peringatan-peringatan itu di antaranya yang positif ialah:
1. Manusia suka dikasihi atau dicintai.
2. Suka diberi pertolongan.
3. Suka diberi simpati.
4. Suka diziarahi.
5. Suka diberi ilmu.
6. Suka diberitahu.
7. Suka dijamu.
8. Suka diberi hadiah.
9. Suka diberi maaf.
10. Suka tidak diganggu dan lain-lain lagi.

Antara yang negatif ialah:
1. Tidak suka dibenci.
2. Tidak suka dicaci.
3. Tidak suka diganggu.
4. Tidak suka dimarahi.
5. Tidak suka diberi malu.
6. Tidak suka disusahi.
7. Tidak suka dibiarkan susah.
8. Tidak suka tidak dipeduli.
9. Tidak suka tidak ditolong.
10. Tidak suka orang sombong kepadanya.
11. Tidak suka barangan dirampas atau dicuri.
12. Tidak suka dizalimi.

Selain itu yang paling asas ialah rasa bertuhan sudah sedia ada di dalam hati manusia. Cuma Tuhan itu bagaimana, itu sahaja yang mereka tidak tahu. Apa yang disebutkan di atas, itulah dia fitrah semula jadi manusia atau gharizah atau naluri semula jadi. Ia dibekalkan oleh Allah bersama tubuh lahirnya. Inilah yang kita maksudkan peringatan Allah Taala yang telah dibekalkan di dalam diri manusia. Firman Allah SWT: Maksudnya: 

“Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” 

PERINGATAN ITU MANUSIA TIDAK JADIKAN PERINGATAN
Sepatutnya manusia menjadikan asas-asas peringatan itu sebagai peringatan di dalam kehidupan mereka kerana fitrah semula jadi manusia itu sama saja. Yakni apa yang disukai oleh seseorang, itu jugalah yang disukai oleh orang lain. Apa yang tidak disukai seseorang itu, itulah juga yang tidak disukai oleh orang lain. Ertinya asas-asas agama Islam itu sudah Allah Taala bekalkan di dalam diri manusia iaitu rasa bertuhan, apa-apa yang disukai dan apa-apa yang tidak disukai. Apa yang dilarang dan apa yang tidak dilarang. Apa yang digemari dan apa yang tidak digemari. Semuanya sudah sedia ada. Maksudnya: 

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, tidaklah mereka menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.”
(Al Furqan: 73)

Maksudnya:
Itulah ketetapan agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri.”  
(At Taubah: 36)

Maksudnya: 
“(Yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari Kiamat dengan kekal dalam azab itu dalam keadaan terhina.
”(Al Furqan: 69)

Maksudnya: Kecuali mereka yang bertaubat beriman dan mengerjakan amalan soleh, kejahatan mereka Allah gantikan dengan kebajikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 
(Al Furqan: 70)

Oleh kerana fitrah semula jadi manusia itu Allah Taala telah bekalkan rasa bertuhan, apa yang disukai dan apa yang dibenci, maka lantaran itulah agama Islam itu dikatakan agama fitrah. Yakni, apa yang diperintahkan oleh Islam dan apa yang dilarang dan apa yang disukai serta apa yang dibenci oleh Islam, ia sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Sama ada yang lahir mahupun yang batin. Kehendak-kehendak Islam itu tidak bercanggah dengan fitrah semula jadi manusia. Islam datang hanya memperluas, memantapkan dan memberitahu cara-cara membuat baik dan cara-cara jangan membuat jahat, mengesahkannya serta memperkatakan ada setengah-setengah hal dari perkara-perkara yang tidak boleh dijangkau oleh akal seperti hal-hal kerohanian dan alam ghaib serta mengenai Tuhan dan ketuhanan.

Berdasarkan fitrah semula jadi ini sepatutnya manusia mengambil ingatan bahawa apa yang dia suka, sepatutnya itu jugalah yang diberi kesukaan kepada orang lain. Apa yang dia tidak suka, itu juga yang sepatutnya dia tidak lakukan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi datang Islam mendorong, menyuburkan, mengingatkan serta menguatkan lagi dengan busyra dengan Syurga dan tanzir dengan Neraka. Ini supaya mengingatkan lagi kepada manusia agar apa yang dia suka, dia mesti lakukan kepada manusia lain. Apa yang dia tidak suka dia tidak akan lakukan kepada manusia lain agar manusia hidup aman damai dan harmoni.

Tetapi apa yang berlaku kepada umum manusia atau secara majoritinya, apa yang dia suka maka dia suka kalau orang boleh lakukan padanya, tetapi dia tidak suka lakukan kepada orang lain. Begitu juga sebaliknya apa yang dia tidak suka, dia tidak suka kalau orang lain melakukan kepadanya, tapi apa yang dia tidak suka itu, dia suka pula menimpakannya kepada orang lain. Maka justeru itulah timbul perselisihan, perbalahan, permusuhan dan peperangan di kalangan manusia. Akibatnya tiada siapa yang susah melainkan manusia itu sendiri yang mendapat kesusahan.

MENGAPA TIDAK MENGAMBIL PERINGATAN?
Firman Allah SWT: 
“Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah memudahkan untukmu apa yang di langit dan di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-nikmat-Nya lahir dan batin.”
(Luqman: 20)

Mengapa manusia tidak mahu mengambil peringatan? Padahal manusia mendapat dua peringatan, iaitu pertamanya peringatan yang semula jadi. Yang kedua pula, kedatangan ajaran Islam. Ini menunjukkan bahawa nafsu manusia itu di antara sifatnya sangat mementingkan diri, didorong pula oleh syaitan yang sentiasa menghasut manusia agar manusia lupa dengan peringatan sama ada peringatan semula jadi mahupun peringatan daripada Allah Taala.

Oleh kerana sifatnya yang sangat mementingkan diri itu, setiap orang suka kalau kebaikan dan kesenangan itu berlonggok dan bertompok pada dirinya sahaja, tapi kepada orang lain biarlah berlonggok dan bertompok pula berbagai-bagai macam kesusahan dan masalah. Padahal apabila kita mementingkan diri sendiri dan menimpakan berbagai-bagai kesusahan dan masalah kepada orang lain atau membiarkan berbagai-bagai masalah berlaku kepada orang lain, orang lain akan membenci, marah dan bertindak kepada orang lain. Akhirnya apa yang akan terjadi ialah orang yang susah menimpakan kesusahan kepada orang lain kerana sakit hati, maka orang yang senang tadi mendapat kesusahan pula. Akibatnya orang yang senang tadi akhirnya senasib dengan orang yang susah. Mereka mendapat kesusahan juga. Cuma kesusahan itu bentuk dan sifatnya sahaja tidak sama. Namun sama-sama mendapat kesusahan kerana tidak mengambil peringatan tadi. Sama ada peringatan semula jadi mahupun peringatan dari Allah Taala.

BAGAIMANA MENDIDIK MANUSIA AGAR SUBUR FITRAHNYA?
Manusia yang sudah lupa atau telah lalai dengan peringatan-peringatan itu sama ada peringatan semula jadi mahupun peringatan dari Islam, mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Jangan dibiarkan manusia menderita dengan sifat-sifat atau tabiat jahat yang menguasai diri dan kehidupan. Di sinilah kewajipan para pemimpin, guru-guru, ibu bapa serta pejuang dan pendakwah agar tampil mendidik manusia.

BAGAIMANA MENDIDIK MANUSIA?
Mendidik manusia tidak cukup setakat menjaga fizikalnya sahaja dengan diberi makan minum yang cukup serta menjaga kesihatan yang rapi. Begitu juga tidak cukup diberi kenyang akal fikiran dengan ilmu pengetahuan, nanti kejahatan manusia lebih hebat dan pesat lagi dengan dibantu oleh ilmu itu. Apa yang lebih penting daripada segala-galanya itu ialah mendidik semula fitrah manusia.

BAGAIMANA MENDIDIK FITRAH MANUSIA?
Jiwa manusia hendaklah dibangunkan semula secara serius iaitu suburkan kembali dengan iman, dengan takutkan Allah yang Maha Agung, tanamkan semula rasa kebesaran Allah di dalam hati manusia. Semarakkan semula sifat-sifat baik yang sedia ada dalam diri manusia. Bangunkan jiwa itu rasa benci dengan kekufuran dan kejahatan serta kezaliman. Suburkan semula sifat-sifat terpuji (mahmudah) yang Allah Taala telah bekalkan itu. Juga bangkitkan semula rasa benci dengan sifat-sifat yang hina (mazmumah) yang juga Allah Taala telah bekalkan di dalam diri manusia. Suburkan rasa tauhid atau rasa bertuhan di dalam hati atau jiwa manusia agar secara automatik rasa kehambaan itu akan subur di dalam jiwa manusia. Maka akan tumbuh subur rasa merendah diri, bersemarak semula rasa cinta kepada Tuhan dan sesama manusia. Dan juga sifat-sifat yang terpuji akan bertapak semula di dalam jiwa manusia.

Apabila hati atau jiwa atau hati nurani manusia telah terdidik iaitu kembali kepada fitrah semula jadinya ertinya raja di dalam diri manusia telah terdidik menjadi baik. Apabila raja di dalam diri manusia menjadi baik, maka ilmu pengetahuan yang memenuhi akal akan ditundukkan kepada kebaikan dan segala anggota lahir akan dikerahkan kepada mentaati Tuhan dan membuat baik kepada seluruh manusia. Tapi apa yang akan terjadi apabila raja di dalam diri tidak terdidik, yakni raja di dalam diri manusia menjadi jahat? Apabila raja di dalam diri manusia menjadi jahat maka raja diri yang jahat akan menggunakan kekuatan ilmu dan mengarahkan anggota lahir mencetuskan berbagai bentuk kejahatan. Itulah yang terjadi pada hari ini, manusia di dunia ini telah melakukan kejahatan menggunakan teknologi tinggi, mencuri duit bank menggunakan komputer, menyebarkan bahan-bahan lucah menggunakan internet dan lain-lain lagi.

Belajar Melalui Rasa Hati.Kalau jiwa manusia itu sentiasa hidup Dan hati manusia itu sentiasa jaga, Manusia boleh belajar dengan rasa hati, Itulah yang dikatakan fitrah semula jadi Cuma Islam itu menguatkannya sahaja. Saya bawa beberapa contoh: Setiap jiwa manusia ingin disayangi, Kalau begitu dia tentulah akan menyayangi manusia lain Kerana kemahuan manusia itu sama Setiap insan suka kalau orang pemurah dengannya Itukan menyedarkan kita bahawa kita juga patut pemurah dengan manusia.

Kemahuan manusia itu serupa Manusia itu suka ia ditolong terutama di masa susah, Perasaan itu sebenarnya mengajar kita, kita juga patut menolong orang lain Kerana kehidupan manusia itu sama sahaja Setiap jiwa suka kalau dia diberi kemaafan Itu memberitahu kita, sepatutnya kita juga memberi kemaafan kepada orang lain Kerana perasaan manusia itu adalah sama Setiap insan suka kalau dia diberi keadilan Ia menyedarkan bahawa setiap orang patut menegakkan keadilan kepada manusia.

Setiap orang tidak suka kalau dia difitnah, dizalimi dan disusahkannya Kalau begitu setiap manusia tidak akan memfitnah, menzalimi dan menyusahkan orang lain. Tapi realiti di dalam kehidupan manusia tidak jadi begitu Kerana hidup manusia itu sama Setiap orang itu hanya suka kalau diadiberi kasih sayang dan diberi perhatian Dia suka dibantu, ditolong, diberi keadilan Tapi dia sendiri tidak mahu melakukannya Dia suka tidak diganggu, difitnah, dizalimi dan disusahkan Tapi dia suka menimpakan kesusahan kepada orang lain Mengapa terjadi begitu? Kerana jiwa manusia sudah buta dan terlalu mementingkan diri

Pengumpat Tidak Tahan Diumpat
Orang yang selalu mengata orang
biasanya dia tidak tahan dikata orang
Orang yang selalu mengumpat orang
biasanya tidak suka diumpat orang
Walaupun dia selalu mengata dan mengumpat orang
dia tidak tahan diumpat dan dikata, jiwanya menderita
Jiwanya sangat gelisah jika dia dikata dan diumpat
Biasa juga orang yang tidak suka mengata dan mengumpat,
dia tidak begitu sedih dan tidak susah hati
Orang yang tidak suka mengata dan mengumpat
jika dia dikata dan diumpat
biasanya dia terlalu memikirkan dirinya sendiri
Dia merasakan dirinya juga
sering membuat kesalahan dan kesilapan
Kerana itulah dia tidak minat
hendak mengata dan mengumpat orang
Kalau dia dikata dan diumpat orang,
dia tidak begitu terasa apa-apa
Bahkan mungkin hati kecilnya berkata
patut dia dikata,
kerana dia manusia yang lemah juga
Dengan umpatan orang itu
dia bertambah lagi membaiki diri
Lantaran itulah dia tidak bertindak balas
di atas kejahatan orang itu
Begitulah seterusnya orang yang sombong,
pantang orang lain sombong dengannya
Kesombongan orang lain terhadap dirinya,
dia tidak sanggup menerima cabaran
Di sini baru kita faham,
orang yang nampaknya macam berani dan garang,
selalu sahaja mengumpat orang
dan sombong dengan orang
Sebenarnya jiwanya tidak kuat,
tidak mampu kena cabar
Di sebalik nampaknya garang
tersembunyi sifat penakut dan pengecut
Tapi orang yang tenang,
tidak nampaknya riuh-rendah
sebenarnya jiwanya kuat
Di sebalik ketenangannya tersembunyi keberanian
dan ketahanan jiwanya
Kerana itulah orang seumpama ini sabarnya luar biasa
Mampu menerima berbagai-bagai ujian dan kesabaran





No comments:

Post a Comment