Hari ini semua adik-beradik pulang beraya di Kuala Lumpur setelah beraya di kampung mertua. Ibu yang di KL agak kesunyian, tetapi setelah mendengar abang dan kakak-kakak hendak datang beraya, ibu gagahi juga bangun pagi menggoreng nasi buat santapan pagi mereka yang akan datang nanti
Aku yang bongsu tinggal dirumah sambil menolong apa yang patut memerhati kegagahan ibu yang sememangnya aku tahu sakit dan bengkak kakinya semakin menjadi-jadi semenjak bulan puasa tempohari.
Aku minta untuk membantu... "tak payah" katanya.
"Biar mak yang buat.. nanti lain rasanya kalau kamu yang buat."
Aku biarkan sahaja walau dalam hati terasa pedih dan sayu melihat kegagahan mak nak juga sediakan nasi goreng untuk anak-anaknya yang bakal merayakan Aidilfitri bersamanya.
Aku tahu di sudut hati mak ada rasa sedih dan sayu kerana anak lelakinya tak beraya bersama di pagi raya.. tetapi langsung tidak ditunjuk malah ingin pula menjamu anaknya.
Terhinjut-hinjut mak ke sana ke mari mengambil bahan-bahan nasi goreng.
Bukan main khusyuk dan bersungguh-sungguh beliau cuba menyediakan juadah; semampunya.
Apabila semua abang, kakakku dan anak saudaraku sampai aku mula hidangkan nasi yang digoreng oleh mak tadi.
Semuanya pakat menjamu selera.. memang berselera semua sukakan nasi goreng mak.. mak tahu anak-anaknya sukakan nasi goreng air tangannya..
Dalam tak sedar nasi dah hampir habis. Terdetik dihatiku :
"Ahhh mak belum makan apa-apa semenjak pagi kerana sibuk sediakan nasi tu."
Tiba-tiba abangku bertanya, "siapa yang tak makan lagi nasi ni?"
Aku menjawab, "mak belum makan lagi.."
Mak dengan bersungguh menjawab, "ehh mak tak mahu... tak lalulah nasi goreng, nak makan roti jer sekejap lagi."
Dua tiga kali kami pelawa begitu juga jawabnya. Kataku dalam hati, " oohh mungkin juga mak nak makan roti sebab nak kawal penyakit kencing manisnya."
Bila semua dah pulang.. aku lihat mak terhinjut-hinjut ke dapur. .lantas aku bertanya, "mak nak apa.. saya nak ambilkan.'
"Tak mengapa, mak nak rasa makanan ni sikit.'
Sayu sedih dan terguris sungguh hati aku.. bila kulihat mak rupanya sedang mengikis kerak-kerak nasi goreng yang masih berbaki dalam kuali untuk dimakan.
Itulah kasih seorang ibu pada anak-anaknya..
Zaman sekarang pun masih ada ibu yang sanggup berlapar dan mendahulukan anak-anaknya asal mereka semua kenyang. Kami benar-benar kalah dengan apa yang kami saksikan..
"YA Allah, Engkau peliharalah ibu kami.. ampunilah dosanya.. berilah kekuatan kepada anak-anaknya untuk membalas jasa ibu yang tak terhingga, amin.."
No comments:
Post a Comment