Sekeping hati itu
Dua arah untuk dituju
Ke kanan atau ke kiri...
Kalau ke kanan
Paksinya Tuhan orbitnya Al-Quran
Alangkah indahnya sekeping hati itu
Pasti sentiasa dalam ketenangan
Pasti setiap detik dalam kedamaian
yang berpanjangan
Kalau pernah tersalah tingkah
terkhilaf cara
Istighfarlah pengubat, penawar ,
pelega jiwa
Kalau kejayaan yang diterima
Pada setiap denyut nadi
Hati itu dalam sedar mensyukuri
Nikmat pemberian dari Rabbi
Kalau resah pula menyelubungi
Pada Allah tempat kembali
Yakin dan harap padaNya
Semakin kuat berakar umbi
Di kamar sepi sekeping hati itu...
Dan sekeping hati itu
Kalau arahnya ke kiri
Nafsulah pemerintah bertakhta
Syaitan pula pembesar setia
Kalau tersilap cara
Ia semakin gembira
Rasa bersalah tak kunjung tiba
Itulah ‘penenang jiwa’
Tapi hakikatnya dia derita
Kerana menyanggah fitrah Pencipta
Kalau kejayaan ditempa
Sombong dan riak, angkuh beraja
Lupa hakikat
Kejayaan itu sekadar pinjaman
Daripada Ar-Rahman
Namun, pelik pula jika hati itu gelisah
Ia pasti kembali rebah
Di hadapan Pencipta masalah
Akui dirinya yang lemah
Kesali segala keterlanjuran
Menagih belas kasihan
Malu yang tiada sempadan
Menyelinap segenap ruang...
Duhai sekeping hati
Dikau umpama seekor binatang buas
Ingin selalu bebas
Tapi sedarlah dikau
Kebebasan hanyalah pemusnah
Tanpa kawalan Al-Khaliq
Kau takkan bisa bahagia
Pilihlah untuk ke kanan
Pasti lancar langkahmu
Meniti usia dunia yang singkat
Selamatlah dikau hingga penamat…
Kerana kalau engkau berkeras
untuk ke kiri
Akhirnya engkau akan sengsara
Jika jalan pulang tidak kau jumpa
Atau mungkin tatkala sedarmu
bertamu
Alangkah sedihnya nanti
Andai langkah pulangmu sudah
terlambat...
No comments:
Post a Comment